My Blog List

Tuesday, May 28, 2013

Janji...Apa ada pada janji!!!


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah , masih diberikan oleh Allah SWT kesempatan dan peluang untuk terus menulis di laman maya ini. Mudah-mudahan terus diizinkan Allah dalam ruang yang terhad ini untuk saya menulis dan berkongsi sedikit tentang persoalan yang sering dipandang ringan oleh masyarakat, mengenai tuntutannya begitu berat iaitu JANJI.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala perjanjian (yang kamu buat)." (Surah al-Ma'idah ayat 1).

Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT mengenai janji yang dibuat.Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Penuhilah janji itu, sebab janji itu akan ditanyakan." (Surah al-Isra' ayat 34).


DALAM kehidupan masyarakat hari ini,ada orang yang petah bercakap,manis di bibir dan  menabur seribu janji. Mereka tidak segan-silu menabur pelbagai janji tanpa memikirkan sama ada janji yang ditaburkan itu mampu dipenuhi atau tidak.Malah,lebih mendukacitakan apabila ada orang yang sanggup bertopeng kejujuran dan menggadai amanah dengan menabur janji demi janji hanya untuk menjaga kepentingan dan kedudukan.Tidak kira apa jua pun tujuan janji yang dibuat itu, ia adalah suatu amanah yang wajib ditepati dan dipenuhi. 

Meremeh-remehkan janji atau sengaja tidak mahu memenuhi perkara yang dijanjikan adalah sangat dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT.Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah,kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah al-Saff ayat 2-3)

orang yang memungkiri janji adalah termasuk dalam golongan orang munafik.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ada tiga tanda orang munafik, iaitu apabila dia bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia ingkar dan apabila diberi amanah dia khianat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

"Bagi memastikan janji itu dapat dipenuhi,Islam telah meletakkan adab-adab apabila berjanji. Antara yang paling penting adalah melafazkan ucapan 'insya-Allah' bagi setiap janji yang dibuat.Suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata 'insya-Allah'." (Surah al-Kahfi ayat 23).

Perlu difahami bahawa janji adalah amanah yang wajib ditepati dan dipenuhi.Ini bererti ucapan 'insya-Allah' itu bukanlah sekadar untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi dan melaksanakan perkara yang dijanjikan.

 Bahkan perkataan 'insya-Allah' itu hendaklah disertai dengan azam dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memenuhi segala janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang munafik yang dibenci oleh Allah SWT.Jelas di sini bahawa menyebut perkataan 'insya-Allah' dengan disertai azam dan usaha untuk melaksanakan sesuatu janji itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam. 

Memang sudah pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu perkara yang dijanjikan itu melainkan dengan izin dan bantuan Allah SWT.Demikianlah betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji. Oleh itu berhati-hatilah sebelum menabur berjanji.Biarlah kita berjanji dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan saja. 


"Ketahuilah barangsiapa yang menzalimi orang yang mendapat perlindungan atau menghinanya atau memberi beban di atas kemampuannya atau mengambil sesuatu darinya tanpa kerelaannya, maka aku adalah penuntutnya di hari kiamat” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Menunaikan janji bukanlah dengan semacam melepaskan batuk di tangga. Allah menyukai bila melakukan sesuatu dilakukan dengan bersungguh. Jangan ambil mudah dan jangan main-main. Ingatlah, Allah itu tidak buta, tidak tuli dan tidak pernah tidur. Setiap apa yang dilafazkan dan diucapkan, Allah adalah saksinya.


Allahuakbar. Sungguh janji itu merupakan perkara yang besar. Janji yang dibuat walau tidak dicatat atau direkod, yang pasti , Allah menjadi saksi padanya. Jangan sesekali memandang remeh pada setiap janji yang dibuat. Adab berjanji itu bila berjanji wajib tepati. Hablumminannas perlu dijaga. Jangan kerana memegang janji kita, tergendala urusan orang lain. Lantaran kerana kekuatan sebuah janji adalah pada saat janji itu ditunaikan bukan pada saat diucapkan.


Renung2kan lah !!!!!

No comments:

Post a Comment