Saat kita menempuhi onak duri dunia, ya mungkin ada kalanya, kesedihan itu
terus memanjat-manjat di dasar hati lantaran ada dugaan yang memedihkan dan
mengusik ketenangan jiwa. Air mata seakan bersedia mahu keluar agar tidak terus
berombak di kolam hati. saat itu mungkin sabar tidak dikenali lagi. Dalam
terharu, air mata tumpah juga, mengalir deras mengeringkan derita. Kemudian ada
sedikit ketenangan mula menyusup membalut lara, sinar-sinar harapan menampakkan
cahaya menyuluh jalan yang lebih bahagia. Keyakinan seakan tumbuh dari sokongan
dan kesedaran, wajah mula tenang dan senyuman mudah terbentuk. Cerialah diri.
Suka duka, sedih gembira bagaikan silih berganti. Wahai hati, ingatlah diri
kita ini tidak hidup abadi. esok, lusa, mana tahu kita akan mati.
Buatmu wahai jiwa – jiwa yang terluka..
Jangan bersedih, kerana qadha’ telah ditetapkan, sesuatu yang ditakdirkan
telah terjadi, pena-pena telah mengering, lembaran-lembaran catatan ketentuan
telah pun dilipat, dan setiap perkara telah ditetapkan! Betapapun, kesedihan
anda tidak dapat mendahulukan atau menta’khirkan kenyataan yang terjadi, dan
tidak juga mampu menambahkan atau mengurangi apa yang telah ditetapkan.
Jangan bersedih, kerana kita telah melalui kesedihan itu kelmarin dan ia
sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun pada keesokan hari nya.
kesedihan demi kesedihan bakal membuat kita semakin terperuk dalam keputus
asaan dan dunia yang luas dirasakan sempit dan tidak lagi berguna. Padahal,
dunia inilah kesempatan untuk kita dekatkan diri kepada Allah untuk kita raih
syurgaNya yang tersangat indah serta bebas daripada rasa kesedihan.
Jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan
anda. Oleh sebab itu, jangan habiskan usia anda dalam kesedihan, jangan biarkan
malam-malam anda dalam kecemasan, jangan anda tukar kebahagiaan dengan
ketakutan, dan jangan mensia-siakan waktu anda yang masih tersisa, kerana
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang mensia-siakan waktu.
Wahai hamba Allah,
Gara-gara kesedihan, air yang manis akan terasa pahit, makanan yang lazat
terasa hambar dan bunga mawar yang mekar mewangi terus menjadi layu. Kita
sendirilah yang menggerakkan saraf pemikiran kita, mengubah situasi kita,
meletihkan hati kita dan menganggu tidur kita dengan rasa kesedihan itu.
Ingatlah tangisan terindah itu apabila butir-butir airmata mengalir hangat
di pipi lantaran terasa diri kita begitu kerdil di sisi Allah dan begitu
berdosanya kita disisi Allah. Jika kita soal pada hati kita yang paling dalam.
berapa banyakkah dosa kita? sikitkah? banyakkah? terhitungkah? Allahu Rabbi…
Semoga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa kita serta menggerakkan hati-hati
kita supaya sentiasa bertaubat kepadaNya agar diri kita tidak tenggelam dengan
dosa-dosa yang menggelapkan hati lalu memadam nur hidayah yang
diidami..sama-sama kita renungi diri kita ini lebih-lebih lagi yang menulis ini
dan sahabat-sahabat yang dikasihi. insyaAllah, moga Allah redha ke atas kita
semua.
Sedarlah jiwa-jiwa yang terleka.
Hadapilah segala ujian dengan rasa kehambaan kepadaNya.Tersenyumlah kerna
setiap kesulitan itu pasti akan disusuli oleh kemudahan.Sesungguhnya dugaan dan
ujian hadir dalam hidup kita adalah tanda sayangnya Allah pada kita. Oh
untungnya kita.
Ayuh kembali menjadi hamba-Nya, kesilapan yang lalu jadikanlah sebagai
pengajaran buat kita agar terus berjaya di masa depan .Jangan biarkan kegagalan
itu membunuh jiwa kita untuk terus bangkit.
Wahai Hamba Ilahi,
Allah mendugamu bukan kerna Dia mahu menyusahkan dirimu tetapi Dia ingin
mengetuk hatimu yang tidak pernah lelah bermain dengan dunia agar dirimu
kembali lurus pada jalanNya..
Ingatlah, Allah tidak pernah melupakan kita tetapi mungkin kita yang selalu
melupakanNya, melupakan ayat-ayatNya, melupakan nikmat-nikmat yang telah kita
pinjam dariNya..
Ketika kita senang, dengan senang kita meninggalkanNya. Ketika kita susah,
kita meraung menyeru namaNya. tidak malu kah kita padaNya? sedarlah ! kita
hambaNya bukan siapa-siapa. Jika tidak kerna kasih sayangNya kita tidak akan
dapat merasai apa yang kita miliki tika ini..
Lihatlah disekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu, sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus asa, senyuman yang kau berikan dan airmata yang kau titiskan, simpan.. jadikan tauladan, segala yang kau pandang dan dengar, simpan.. buat pedoman.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” – (Surah Al-Imran:139)
No comments:
Post a Comment